Sunday, 9 September 2007

Tiada petunjuk baru cari Nurin

KUALA LUMPUR: Selepas 20 hari mencari, Nurin Jazlin Jazimin, 8, belum ditemui, malah sehingga kini polis tiada petunjuk yang memungkinkan penemuannya.Lebih menyedihkan, Nurin Jazlin atau dipanggil Kak Ngah memerlukan ubat dan rawatan kerana menghidap darah tinggi dan sakit buah pinggang.Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner K Kumaran, berkata sejak kes kehilangan itu dilaporkan, polis bertungkus lumus berusaha menjejakinya berdasarkan pelbagai maklumat diterima.Katanya, maklumat itu termasuk rakan sekolah Nurin Jazlin yang mendakwa melihat mangsa ditarik masuk ke sebuah van.“Bagaimanapun, sehingga sekarang belum ada petunjuk baru ditemui bagi membolehkan kes ini diselesaikan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.Nurin Jazlin dilaporkan hilang berhampiran rumahnya di Wangsa Maju, ketika ke pasar malam berhampiran rumahnya jam 8 malam 20 Ogos lalu.Sementara itu, ibu Nurin Jazlin, Norazian Bistaman, 35, berharap anaknya sentiasa ingat doa yang diajarkan kepada semua anak-anaknya: “Ya Allah..Ya tuhanku... Engkau selamatkan aku daripada segala kesusahan dan penderitaan.” Beliau berkata, setiap kali Kak Ngah sedih atau sakit, dia akan meminta anaknya membacakan doa itu dan pernah Nurin Jazlin bertanyakan sama ada Allah dengar doa yang diungkapkan.“Saya yakin jika Kak Ngah membaca doa itu, dia akan selamat dan Allah melindunginya daripada segala perbuatan tidak baik,” katanya yang mengharapkan kepulangan Nurin Jazlin terutama menjelang Ramadan minggu depan.“Tahun lalu, Kak Ngah sibuk meminta saya menyiapkan sendiri juadah berbuka dan bersahur,” katanya.Sementara itu, Pengarah Urusan Restoran Ali Maju Sdn Bhd, Jawahar Ali, menawarkan RM5,000 sehingga Nurin ditemui selain mengedar 10,000 risalah serta 50 kain rentang di 10 rangkaian restoran di kawasan Lembah Klang.

No comments: