Saturday, 12 July 2008

Jumpa bayi di kaki lima-Oleh Ravale Savarinathan (Harian Metro)

TELUK INTAN: “Kami terkejut melihat seorang bayi lelaki cukup sifat dan masih bertali pusat dalam bungkusan berwarna hitam. Kami tidak sangka ada orang tidak berperikemanusiaan membuang bayi itu,” kata seorang peniaga dikenali sebagai Ali, 33.Dia dan isterinya menemui bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan kira-kira jam 11.30 malam kelmarin di kaki lima kedai kosong di Jalan Laxamana berdepan Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan di sini.Bayi seberat 2.84 kilogram itu sudah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.Menurut Ali, beberapa minit sebelum menemui bayi itu, dia melihat seorang wanita membawa satu bungkusan hitam mundar-mandir dalam keadaan mencurigakan di hadapan kaki lima kedai berkenaan.Menurutnya, dia memaklumkan perkara itu kepada isterinya kerana menyangka wanita terbabit mungkin membawa bungkusan barang curi berikutan kedai kosong berkenaan terletak kira-kira 300 meter dari rumahnya.
“Saya masuk dalam rumah mengambil kunci motosikal untuk pergi ke tempat itu. Sebaik keluar rumah, saya dan isteri mendapati wanita terbabit tiada.“Kami ke sana dengan motosikal dan terdapat beberapa anjing berada berhampiran bungkusan hitam berkenaan. Melihat kehadiran kami, kumpulan anjing itu melarikan diri.“Kami berasa amat pelik kerana bungkusan itu bergerak-gerak. Sebaik membukanya, kami terkejut melihat seorang bayi lelaki berada di dalamnya,” katanya ketika ditemui, semalam.Dia dan isterinya bersyukur kerana tiba tepat pada masanya kerana tidak tahu apa nasib bayi itu jika kumpulan anjing berkenaan bertindak di luar jangkaan.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang ketika ditemui, berkata siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti bangsa bayi itu dan mengesan ibunya.“Ketika ditemui, bayi yang cukup sifat dan masih bertali pusat itu dipercayai baru dilahirkan berdasarkan kesan darah pada selimut hitam dan tuala putih yang digunakan untuk membalutnya.“Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.Bayi itu kini ditempatkan di Wad Rawatan Rapi Bayi Hospital Teluk Intan (HTI) untuk pemeriksaan kesihatan dan berada dalam keadaan sihat.Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Asiah Mahmud atau cawangan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak di talian 05-6221222.

No comments: